Resipi Serta Cara Penyediaan Tau Fu Fa (Versi Original)

Tau Fu Fa / Douhua / Doufuhua – Lepas tengok Sally buat Tau Fu Fa guna air soya kotak dan serbuk agar-agar, kakak Sally kurang berkenan sebab katanya tak sedap. Jadi masa Sally pergi rumah dia minggu lepas, dia ajar step by step cara buat Tau Fu Fa dari kacang soya sendiri – kira buat dari awal la senang cakap.


Tau Fu Fa, atau lebih dikenali sebagai Douhua/Doufuhua di China, merupakan salah satu snek popular. Selain dikenali dengan nama Tau Fu Fa, ia juga dipanggil puding tauhu atau puding kacang soya. Di Malaysia, memang biasa jumpa dekat Pasar Malam – ada yang pakai gula merah dan ada juga yang guna gula putih. Secara peribadi, Sally lebih suka gula putih, tapi ikut mood juga… kadang-kadang gula merah pun sedap je.

RESIPI TAU FU FA

Bahan-bahan:

  • 150 g kacang soya – direndam selama 4 jam
  • 1 liter air (boleh tambah 100 ml selepas dikisar & diperah)
  • ½ sudu teh GDL (boleh beli di kedai bakeri)*
  • 1 sudu makan tepung jagung*50 ml air*


Cara-cara:

  1. Rendam kacang soya selama 4 jam – jangan lebih sangat sebab nanti kacang boleh jadi masam.

  2. Sambil tunggu, boleh siapkan air gula ikut citarasa masing-masing.

  3. Lepas 4 jam, bilas kacang dan buang benda asing – kulit kacang kalau ada pun tak mengapa.

  4. Masukkan kacang soya dan 1 liter air ke dalam blender, kisar sampai hancur.

  5. Tapis guna kain bersih atau uncang penapis ke dalam periuk, kemudian boleh tambah 100 ml air lagi. Anggaran jumlah jadi lebih kurang 1.1 liter.

  6. Panaskan air soya bersama daun pandan untuk hilangkan bau kacang – lebih kurang 20 minit.

  7. Sementara tu, campurkan bahan bertanda (*) dan kacau sebati.

  8. Untuk kekalkan suhu, guna bekas tahan panas. Masukkan campuran (*) dulu, kemudian tuang air soya panas tadi perlahan-lahan.

  9. Buang buih di permukaan supaya Tau Fu Fa jadi licin dan cantik.

  10. Tutup bekas dan biar dalam 20-30 minit – lepas tu boleh terus makan!


Senang je kan nak buat Tau Fu Fa sendiri? Yang penting bersih, boleh buat banyak, dan puas hati makan berkali-kali. Sally sendiri suka Tau Fu Fa yang panas, kalau ada air soya sekali lagi sedap – campur dua-dua memang ngam!


Korang pula macam mana? Suka Tau Fu Fa panas atau sejuk?

No comments:

Post a Comment