Gelanggang Sastera 1 Himpunkan Sasterawan dan Penulis dari Empat Negara.

JOHOR, 25 Ogos 2026 – Gelanggang Sastera 1 melabuhkan tirainya pada 22 Ogos lalu di Savanna Hill Resort, Johor, dengan menghimpunkan para sasterawan, penulis dan pencinta karya dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam dalam satu wadah bagi meraikan keindahan bahasa, budaya dan karya sastera serantau.

Pertandingan Gelanggang Sastera 1 telah berlangsung dari 1 Februari hingga 30 April 2026, dengan penyertaan seramai 124 peserta bagi kategori puisi dan 48 peserta bagi kategori cerpen.

Gelanggang Sastera 1 menjadi ruang pertemuan para sasterawan dan penulis dari negara-negara serantau untuk berkongsi karya, pemikiran dan pengalaman melalui bahasa serta budaya, di samping membina jambatan persahabatan dan persefahaman melalui sastera.

Antara pengisian utama program ialah sesi “Bicara Sastera” yang diadakan bersempena sesi minum petang. Sesi ini mengetengahkan perbincangan serta perkongsian pandangan mengenai perkembangan dan isu semasa dalam dunia sastera.

Sesi tersebut dikendalikan oleh Dr Khairuddin Lim selaku moderator, dengan menampilkan Tuan Haji Amiruddin bin Md Ali Hanafiah, Ketua 1 Persatuan Penulis Johor, dan Dr Maskiah binti Masrom, Sasterawan Johor, sebagai panel.

Majlis turut menyaksikan pelancaran buku Antologi Puisi dan Cerpen Puteri Gunung Ledang, yang menghimpunkan karya-karya peserta dan penulis sebagai wadah untuk mengetengahkan kreativiti serta kekayaan bahasa dan budaya serantau.



Majlis turut diserikan dengan persembahan puisi dan monolog cerpen oleh para penulis yang menghasilkan karya dalam kedua-dua naskhah tersebut, sekali gus memberi peluang kepada hadirin untuk menghayati karya secara lebih dekat dan langsung.

Gelanggang Sastera 1 telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Chua Jian Boon, Timbalan EXCO Negeri Johor (Perpaduan, Warisan dan Budaya).


Menurut Ezatul Hanim Yahya, penganjur Gelanggang Sastera 1, penganjuran program ini merupakan satu usaha untuk menjadikan sastera sebagai medium yang dapat mendekatkan masyarakat dari pelbagai negara.

“Kami mahu menjadikan Gelanggang Sastera sebagai ruang yang bukan sahaja menghimpunkan karya dan penulis, tetapi juga mempertemukan manusia melalui bahasa, budaya dan pengalaman. Sastera tidak mengenal sempadan, dan melalui karya, kita dapat membina persahabatan serta persefahaman yang lebih erat antara negara-negara serantau,” katanya.

Program ini merupakan kesinambungan platform sastera serantau yang sebelum ini dikenali sebagai Serumpun. Mulai tahun ini, program tersebut dijenamakan semula sebagai Gelanggang Sastera, dengan Johor menjadi tuan rumah Gelanggang Sastera 1, diikuti Gelanggang Sastera 2 di Brunei Darussalam, manakala Gelanggang Sastera 3 akan kembali diadakan di Johor.

Sebagai anak jati Johor, Ezatul Hanim Yahya mengambil inisiatif untuk memperkukuh hubungan antara penggiat sastera melalui karya, bahasa dan budaya, selain membuka ruang kepada penulis untuk berkongsi bakat dan perspektif masing-masing dengan masyarakat serantau.

Penganjuran Gelanggang Sastera 1 bukan sekadar memberi ruang kepada penulis untuk mengetengahkan karya masing-masing, malah menjadi platform untuk memperkukuh hubungan budaya dan persahabatan antara Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam.


Melalui sastera, perbezaan latar belakang dan sempadan geografi dapat dirapatkan, manakala bahasa menjadi medium untuk berkongsi pengalaman, pemikiran, nilai dan identiti budaya.

Penganjur berharap Gelanggang Sastera dapat terus berkembang sebagai platform sastera ASEAN yang berterusan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada penulis berpengalaman dan bakat baharu untuk berkarya, berinteraksi serta membina jaringan bersama rakan-rakan sastera dari negara-negara serantau.

No comments:

Post a Comment